[Masuk] [Daftar]

Informasi Sekolah
 Sejarah Sekolah
 Visi dan Misi
 Falsafah Sekolah
 Objektif Sekolah
 Dasar Kualiti Sekolah
 Piagam Pelanggan
 Lencana Sekolah
 Bendera Sekolah
 Lagu Sekolah
 Lokasi Sekolah
 Pentadbiran Sekolah 2018
 JK Kurikulum Sekolah
 JK Hal Ehwal Murid
 JK Kokurikulum Sekolah
 Video SKSR
 Keratan Akhbar
 Dasar Privasi
 Dasar Keselamatan
 Gambar Aktiviti Terkini
 Perutusan Guru Besar
 Pasukan Rokamia
 Mantan Guru Besar
 Info Daripada Guru Besar
 Kejayaan Murid
 Info PIBG SKSR
 Pendidikan Khas
 Buku Digital Keluaran KPM
 SYNC SCHOOL MESSAGING
 BLOG GURU SKSR
 GAMBAR KEJAYAAN MURID 2017
Pautan Web Kerajaan
Agensi Kerajaan


Gerbang Kementerian Pelajaran Malaysia
saps
Ithink
sps
PBS
1M1S
Bahagian Pembangunan Kurikulum
Support Ticketing System
Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perak

Portal Bahagian Sekolah KPM

Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran

Web TV Pendidikan

Bidang Keberhasilan Utama Negara

EDU Web TV

mySchoolNet

Tutor Utusan

EMIS ONLINE

MAMPU

Pusat Kokurikulum Perak

UPIPPDKU

e-GTukar

Kementerian Pengajian Tinggi

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

Jemaah Nazir Sekolah Malaysia

Lembaga Peperiksaan Malaysia

Puspanita KPM

Perbendaharaan Malaysia

Lembaga Hasil Dalam Negeri

Dewan Bahasa & Pustaka

Multmedia Super Coridor

PKG Seri Ampang
Portal JPN & PPD

JPN Perak
PPD Kinta Utara
PPD Batang Padang
PPD Manjung
PPD Kuala Kangsar
PPD Hilir Perak
PPD LMS
PPD Kerian
PPD Hulu Perak
PPD Perak Tengah
PPD Kinta Selatan
Haiwan dan persamaan dengan manusia
PHP-Nukeandroidx telah menulis/mengirim "
seperti di dalam al-Qur'an





Segala makhluk yang merayap di bumi, dan burung-burung yang terbang dengan sayap-sayapnya adalah umat-umat yang serupa dengan manusia. Keserupaan menyerlah apabila sifat sesetengah daripada mereka disamakan pula dengan sesetengah manusia.

Semua haiwan dicipta oleh Allah, dan mereka dicipta daripada air. Allah menjelaskan dengan lebih lanjut,

"Allah mencipta semua haiwan daripada air, dan sebahagian mereka berjalan di atas perut mereka, dan sebahagian mereka berjalan di atas dua kaki, dan sebahagian mereka berjalan di atas empat" (24:45).

Manusia pun dicipta daripada air (25:54), dan seperti manusia, haiwan diwarnakan Allah dengan pelbagai warna, dan Dia seterusnya merezekikan mereka berdua. Al-Qur'an menjelaskan,

"Antara manusia juga, dan haiwan, dan binatang ternak, bermacam-macam warnanya." (35:28)

"Berapa banyaknya haiwan yang tidak membawa rezekinya sendiri, tetapi Allah memberi rezeki untuknya dan kamu!" (29:60)

Haiwan, bersama segala yang di langit dan di bumi, sujud kepada Allah, tetapi tidak dengan manusia, kerana ramai yang tidak turut sujud, lalu wajarlah mereka diazab. Firman Tuhan,

"Tidakkah kamu melihat bagaimana kepada Allah sujud segala yang di langit, dan segala yang di bumi, dan matahari, dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-gunung, dan pokok-pokok, dan haiwan-haiwan, dan ramai daripada manusia? Dan ramai, wajarlah azab ke atas mereka" (22:18).

Antara haiwan ada yang diburu. Namun, mereka haram diburu oleh orang-orang yang telah menetapkan untuk Haji. Mereka berada dalam keadaan haram, atau ihram seperti yang lazim disebut. Mereka dilarang kerana Allah ingin menguji mereka. Demikian menurut ayat-ayat di bawah:

"janganlah membunuh binatang buruan sedang kamu dalam haram (ihram)" (5:95).

"Allah menguji kamu dengan sesuatu daripada binatang buruan yang tangan-tangan kamu, dan tombak-tombak kamu capai, supaya Allah mengetahui siapa yang takut kepada-Nya yang dalam keadaan ghaib." (5:94)

Selanjutnya, orang-orang yang dalam keadaan haram, mereka bukan sahaja dilarang memburu, malah daging binatang buruan darat, yang diburu oleh orang lain pun diharamkan kepada mereka untuk dimakan. Iktibar diambil daripada sebuah firman bermaksud,

"Dihalalkan bagi kamu adalah binatang buruan laut, dan makanan daripadanya, sebagai suatu peruntukan bagi kamu, dan bagi pengembara-pengembara. Tetapi diharamkan kepada kamu binatang buruan darat selama kamu dalam haram (ihram)" (5:96).

Apabila mereka telah menyelesaikan Haji mereka dibenarkan untuk terus memburu haiwan buruan. Firman-Nya,

"Tetapi, apabila kamu telah menyelesaikan, maka burulah binatang buruan." (5:2)

Dalam pada itu, mereka yang tidak dalam keadaan haram dibolehkan memburu binatang buruan. Tujuan memburu binatang adalah untuk dimakan. Untuk tujuan yang selain daripada itu al-Qur'an didapati tidak memberi sebarang petunjuk.

Turut tercatat di dalam al-Qur'an mengenai haiwan ialah haiwan-haiwan buas, yang akan dikumpul pada Hari Akhir. Firman Tuhan,

"Apabila haiwan-haiwan buas dikumpulkan," (81:5).

Dan, haiwan yang keluar dari bumi. Terdapat dua ayat mengenainya. Pertama, ayat mutasyabihat, yang menyatakan ia akan berkata-kata kepada manusia, berbunyi,

"Apabila Ucapan jatuh kepada mereka, Kami mengeluarkan untuk mereka dari bumi, suatu haiwan yang berkata-kata kepada mereka - manusia tidak yakin akan ayat-ayat Kami." (27:82)

Kedua, ayat muhkamat, mengisahkan tentang kematian Nabi Sulaiman:

"Dan apabila Kami menentukan kematian kepadanya (Sulaiman), tiada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya, melainkan haiwan daripada bumi yang memakan tongkatnya; dan apabila dia jatuh ....." (34:14)

Balik kepada tajuk binatang buruan, untuk menyentuh hal buruan di laut pula. Binatang buruan laut, dan makanan lain daripada laut, semua halal dimakan pada bila-bila masa sahaja, termasuk ketika berada dalam keadaan haram, dan tanpa syarat disembelih seperti yang di darat. Dari laut, baik yang airnya tawar mahupun masin, datang "daging yang segar" (16:14, 35:12) yang sedap dimakan.

Haiwan Ternakan

Seperti yang di laut, haiwan ternakan di darat dihalalkan untuk dimakan pada bila-bila masa sahaja termasuk ketika berada dalam keadaan haram. Firman-Nya,

"Dihalalkan bagi kamu ialah haiwan ternakan, kecuali apa yang dibacakan kepada kamu," (5:1)

Apa yang dibaca daripada al-Qur'an mengenai haiwan yang haram dimakan ialah "bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa-apa yang disucikan kepada selain daripada Allah, dan yang dicekik, dan yang dipukul, dan binatang yang jatuh lalu mati, dan binatang yang ditanduk, dan apa yang dimakan binatang buas, kecuali kamu mengorbankannya dengan patut, dan apa yang dikorbankan untuk berhala, dan membahagi dengan ramalan anak-anak panah" (5:3).

Namun begitu, mereka dibenarkan untuk dimakan dalam keadaan terpaksa dan dengan tidak menginginkannya, dan tidak juga ingin menderhakai Allah.

Menyentuh sedikit mengenai haiwan yang diharamkan ke atas orang-orang Yahudi zaman dahulu. Kerana keangkuhan mereka, Allah mengharamkan mereka segala haiwan yang berkuku, dan lemak-lemak lembu dan kambing, kecuali yang melekat pada punggung-punggung mereka, atau usus mereka, atau apa yang bercampur dengan tulang mereka (6:146).

Bicara mengenai haiwan ternakan diteruskan. Selain dimakan, ada pula yang ditunggang. Bagi yang ditunggang, tatkala manusia duduk di atasnya, mereka harus mengingati rahmat Allah dengan menyebut seperti yang diajar-Nya. Firman Allah,

"Allah yang membuatkan untuk kamu binatang ternak, sebahagian mereka untuk ditunggangi, dan daripada sebahagiannya, kamu makan." (40:79)

"dan kemudian mengingatkan rahmat Pemelihara kamu apabila kamu duduk di atasnya, dan berkata, 'Dia disanjung, yang menundukkan ini untuk kami, dan kami sendiri tidak setanding dengannya. Sesungguhnya kepada Pemelihara kami, kami balik.'" (43:13-14)

Mereka bukan sahaja disembelih, dimakan atau ditunggang, malah untuk mengangkut, seperti mengangkut barang ke tempat yang jauh, di samping dijadikan sebagai perhiasan. Al-Qur'an menjelaskan:

"Dan daripada binatang ternak, untuk pengangkutan dan untuk dihidangkan" (6:142).

"Dan mereka mengangkut beban-beban kamu ke sebuah negeri yang kamu tidak akan sampai padanya, melainkan dengan banyak kesusahan ..... Dan kuda, dan baghal, dan keledai, untuk kamu menunggangi mereka, dan sebagai perhiasan" (16:7-8).

Mereka turut diguna untuk perjalanan mengerjakan Haji, dan sebagai haiwan yang dikorbankan dalam Haji. Firman Allah,

"Dan serulah manusia kepada Haji, dan mereka akan datang kepada kamu berjalan kaki, dan di atas tiap-tiap haiwan yang kurus, mereka datang dari tiap-tiap jurang yang dalam," (22:27)

"Kami menentukan bagi tiap-tiap umat satu peribadatan supaya mereka mengingati nama Allah pada haiwan ternakan yang Dia merezekikan mereka." (22:34)

"Maka sebutlah nama Allah pada mereka, berdiri dalam barisan; kemudian, apabila lambungannya rebah, makanlah daripadanya, dan berilah makan kepada pengemis, dan orang yang meminta. Begitulah Kami menundukkan mereka untuk kamu, supaya kamu berterima kasih." (22:36)

Selanjutnya, pada mereka terdapat kehangatan dan pelbagai manfaat bagi manusia, dan daripada kulit-kulit mereka dapat dibuat rumah-rumah, yang ringan dibawa. Bulu dan rambut sesetengah daripada mereka dijadikan perkakas rumah tangga dan kesenangan untuk suatu waktu. Tuhan menjelaskan,

"Dan binatang ternak, Dia menciptakan untuk kamu; padanya kehangatan, dan pelbagai kemanfaatkan," (16:5).

"Dan Allah membuatkan satu tempat rehat bagi kamu daripada rumah-rumah kamu, dan membuatkan untuk kamu, daripada kulit-kulit binatang ternak, rumah-rumah, yang kamu mendapati ringan pada hari perjalanan kamu dan pada hari kamu menetap, dan daripada bulu-bulu mereka (biri-biri), dan bulu-bulu mereka (unta atau kambing), dan daripada rambut mereka, perkakas rumah tangga dan kesenangan untuk satu waktu." (16:80)

Tambahan lagi, susu yang tulen lagi enak diminum didapati daripada mereka. Firman-Nya,

"Dan sesungguhnya pada binatang ternak ada pelajaran bagi kamu; Kami memberi minum kepada kamu daripada apa yang di dalam perut mereka, antara kotoran dan darah, susu yang tulen, enak bagi peminum-peminum." (16:66)

Pada binatang ternak terdapat kecantikan apabila mereka dibawa pulang dan apabila mereka dilepaskan untuk makan rumput - "Dan terdapat kecantikan padanya bagi kamu, apabila kamu membawanya pulang untuk merehatkan, dan apabila kamu melepaskannya keluar untuk memakan rumput." (16:6) Kandang binatang ternakan disebut dalam ayat lain, iaitu 54:31.

Mereka juga menjadi suatu keinginan hawa nafsu dalam kesenangan kehidupan dunia di kalangan manusia. Firman Tuhan,

"Dinampakkan indah bagi manusia ialah kecintaan hawa nafsu (syahwat) daripada perempuan-perempuan, dan anak-anak, dan menimbunkan timbunan emas dan perak, dan kuda-kuda yang ditanda, dan binatang ternak, dan tanaman. Itulah kesenangan kehidupan dunia; tetapi Allah, di sisi-Nya tempat kembali yang terbaik." (3:14)

Contoh Haiwan

Antara haiwan yang banyak disebut di dalam al-Qur'an ialah burung. Bicara mengenainya dimulakan dengan menurunkan dua ayat berbunyi,

"Tiada makhluk yang merayap di bumi, tiada burung yang terbang dengan sayap-sayapnya, melainkan mereka adalah umat-umat yang serupa dengan kamu." (6:38)

"Tidakkah mereka merenungkan burung-burung yang di atas mereka mengembangkan sayap-sayap mereka, dan mengatupkannya? Tiada yang menahan mereka kecuali Yang Pemurah." (67:19)

Burung-burung didapati bersolat dan menyanjung Allah. Dia menjelaskan,

"Tidakkah kamu melihat bagaimana segala yang di langit dan di bumi menyanjung Allah, dan burung-burung mengembangkan sayap-sayap mereka? Masing-masing - Dia mengetahui solatnya, dan sanjungannya; dan Allah mengetahui apa yang mereka buat." (24:41)

Mereka boleh dijinakkan. Cerita-cerita yang berkait dengan mereka didapati di dalam lima kisah Nabi, iaitu Ibrahim, Yusuf, Daud, Sulaiman dan Isa.

Dalam kisah Nabi Ibrahim, mereka disebut apabila Nabi Ibrahim menyeru Tuhan supaya diperlihatkan kepadanya bagaimana Dia menghidupkan orang-orang yang mati. Dia menjelaskan dengan suatu suruhan supaya iktibar diambil daripadanya. Suruhan-Nya berbunyi,

"Ambil empat ekor burung, dan jinakkanlah mereka kepada kamu, kemudian letaklah sebahagian mereka di atas tiap-tiap bukit, kemudian panggilah mereka, dan mereka akan datang kepada kamu dengan segera." (2:260)

Nabi Yusuf pula diminta interpretasi mimpi bagi seorang daripada dua banduan yang dipenjara bersamanya. Dia bermimpi membawa roti di atas kepalanya dan burung-burung memakan sebahagian daripadanya (12:36). Mimpi itu dihuraikan dengan Nabi Yusuf menyatakan bahawa,

"dia akan disalib, dan burung memakan sebahagian kepalanya." (12:41)

Kepada Nabi Daud, Tuhan telah membuatkan gunung-gunung dan burung-burung memuji-Nya bersamanya (34:10). Dan burung-burung selanjutnya ditundukkan kepadanya:

"burung-burung dalam keadaan berkumpul, masing-masing kembali kepadanya." (38:19)

Anaknya, Nabi Sulaiman, telah diajar percakapan burung (27:16), yang menjadi satu daripada barisan-barisan dalam tenteranya, selain jin dan manusia (27:17). Burung hud-hud berperanan sebagai peninjau yang membawa balik berita mengenai sebuah negeri, Sabak, yang diperintah oleh seorang perempuan (27:22). Hud-hud kemudiannya diperintah membawa sepucuk surat daripada Nabi Sulaiman kepada pemerintah tersebut.

Dan Nabi Isa, sebagai satu daripada mukjizatnya, telah membuat dengan tanah liat suatu imej berbentuk seekor burung, kemudian dia menghembus ke dalamnya lalu bentuk itu menjadi seekor burung yang hidup (3:49).

Burung-burung, bersama beberapa haiwan lain, seperti yang sedia maklum, telah sejak dari zaman dahulu lagi dilatih untuk berburu. Begitu kata Allah berbunyi "daripada binatang berburu yang kamu mengajari" (5:4).

Kecerdikan burung diriwayatkan lagi di dalam al-Qur'an. Seekor burung gagak telah dikirim oleh Allah kepada seorang anak Adam untuk mengajar cara mengebumikan mayat saudaranya yang dibunuhnya. Burung itu menunjukkan dengan mencakar-cakar tanah (5:31).

Allah juga telah mengutus burung-burung untuk menghancurkan sebuah angkatan tentera bergajah. Dia menjelaskan,

"Dan Dia mengutus kepada mereka burung-burung berduyun-duyun, dengan membalingkan kepada mereka batu-batu daripada tanah liat yang dibakar," (105:3-4).

Sesetengah daging burung baik dimakan, seperti burung puyuh (salwa), yang diturunkan Allah kepada Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya semasa dalam pelarian (2:57, 7:161, 20:80). Kerana keistimewaan daging burung, ia akan menjadi satu daripada hidangan yang diinginkan di syurga. Firman-Nya,

"Dan daging burung, seperti yang mereka menginginkan," (56:21).

Untuk mengakhiri perbincangan mengenai burung, diturunkan sebuah misal daripada Allah berbunyi,

"sesiapa menyekutukan Allah, ia seakan-akan dia jatuh dari langit dan burung-burung menyambarnya, atau angin menerbangkannya ke dalam sebuah tempat yang jauh." (22:31)

Kisah tentera bergajah yang diceritakan tadi dilengkapkan dengan ayat- ayat di bawah, yang mengandungi satu-satunya perkataan gajah di dalam al-Qur'an:

"Tidakkah kamu melihat bagaimana Pemelihara kamu buat terhadap Orang-Orang Gajah? ..... Dia membuatkan mereka seperti daun yang dimakan." (105:1-5)

Unta pula merupakan haiwan yang agak luar biasa. Bagaimana ia dicipta harus direnungkan. Firman Tuhan,

"Apa, tidakkah mereka merenungkan bagaimana unta diciptakan," (88:17).

Selain ia amat berguna bagi perjalanan di padang pasir, dan kulitnya dibuat rumah, bulu-bulu atau rambutnya dibuat perkakas rumah tangga dan kesenangan lain, menurut ayat berbunyi,

"dan bulu-bulu mereka (unta atau kambing), dan daripada rambut mereka, perkakas rumah tangga dan kesenangan untuk satu waktu." (16:80)

Dalam kisah Nabi Yusuf beberapa perkataan unta disebut. Misalan, kafilah yang terdiri daripada unta (12:82), bekalan makanan seberat beban yang dibawa seekor unta untuk ayah dan saudara-saudaranya (12:65), dan beban serupa itu sebagai hadiah kepada sesiapa yang menjumpai gelas berkaki kepunyaan raja yang hilang (12:72).

Unta betina diceritakan dalam kisah Nabi Salleh. Kaumnya, Tsamud, didatangkan unta itu sebagai satu bukti yang jelas daripada Tuhan (7:73) dan sebagai satu cubaan (54:27). Kaumnya mendustakan apa yang didatangkan lalu mereka dihapuskan Tuhan setelah unta tersebut dilukai.

Mereka yang bunting akan ditinggalkan pada Hari Akhir - "Apabila unta-unta bunting ditinggalkan" (81:4).

Warna unta, dan cara ia minum air apabila kehausan, menjadi misal-misal kepada bunga api daripada api neraka, dan kepada penghuni-penghuninya yang minum air mendidih. Firman-Nya,

"api yang menyala-nyala, yang membalingkan bunga api seperti istana, seolah-olah ia unta-unta keemasan." (77:31-33)

"Dan minum di atasnya air yang mendidih, dengan meminumnya seperti unta yang kehausan minum." (56:54-55)

Unta melintasi lubang jarum! Begitu mustahilnya bagi orang-orang yang mendusta dan menyombongkan diri terhadap ayat-ayat Allah untuk masuk ke Taman (syurga). Firman Allah,

"Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan menyombongkan diri terhadapnya, pintu-pintu langit tidak akan dibuka untuk mereka, dan tidak juga mereka akan masuk Taman sehingga unta melintasi lubang jarum. Begitulah Kami membalas orang-orang yang berdosa." (7:40)

Seekor lagi haiwan yang diguna untuk ditunggang dan membawa beban ialah keledai. Ia turut diguna sebagai perhiasan. Firman-Nya,

"Dan kuda, dan baghal, dan keledai, untuk kamu menunggangi mereka, dan sebagai perhiasan;" (16:8).

Keledai kepunyaan seorang lelaki adalah antara yang dihidupkan semula oleh Allah setelah dia dimatikan selama seratus tahun ( 2:259).

Sebutan terakhir tentang keledai di sini ialah mengenai suaranya, yang tidak harus dicontohi oleh manusia. Allah mengingatkan,

"Sederhanakanlah dalam berjalan kamu, dan rendahkanlah suara kamu; seburuk-buruk suara ialah suara keledai." (31:19)

Beralih kepada kuda. Ia ditunggangi dan dijadikan sebagai perhiasan (16:8), dan menjadi salah satu yang diinginkan oleh hawa nafsu dalam kesenangan kehidupan dunia oleh manusia (3:14).

Nabi Sulaiman telah dilekakan dengan kuda, yang dicintainya, lalu kecintaan itu menjadi lebih daripada mengingati Tuhan, sehingga apabila hari menjadi gelap, dia masih dengan kuda-kudanya (38:31-32).

Haiwan yang pantas itu apabila dijadikan satu pasukan dalam tentera akan menjadi suatu kekuatan yang ditakuti pihak musuh dalam peperangan (8:60).

Baghal hanya terbit sekali sahaja di dalam al-Qur'an, dan seperti kuda dan keledai, ia diguna untuk ditunggang dan sebagai perhiasan (16:8).

Lembu termasuk dalam kategori binatang ternak. Daripada binatang ternak yang diguna untuk pengangkutan dan untuk disembelih terdapat lapan pasangan, iaitu dua biri-biri dan dua kambing (6:143), dua unta dan dua lembu (6:144).

Lembu disebut dalam kisah tiga Nabi, iaitu Ibrahim, Yusuf dan Musa. Nabi Ibrahim telah menghidangkan seekor anak lembu panggang yang gemuk apabila rasul-rasul Allah (malaikat-malaikat) datang untuk berjumpa dengannya (11:69, 51:26).

Nabi Yusuf, yang mahir dalam interpretasi mimpi, telah menghuraikan mimpi raja, yang mengandungi lembu, seperti dinyatakannya sendiri berbunyi,

"Aku (raja) melihat dalam mimpi tujuh ekor lembu yang gemuk, dan tujuh yang kurus memakan mereka; dan tujuh tangkai bijirin yang hijau, dan tujuh yang lain kering." (12:43)

Untuk mengetahui interpretasinya sila rujuk ayat-ayat 12:47-49.

Dan, Nabi Musa telah didatangkan dua masalah mengenai lembu. Pertama, sebuah patung Anak Lembu yang dibuat dan disembah oleh kaumnya ketika dia menemujanji dengan Tuhan selama empat puluh malam (2:51).

Kedua, apabila dia menyampaikan perintah Tuhan supaya kaumnya mengorbankan seekor lembu. Kaumnya mengemukakan pertanyaan yang banyak mengenai lembu itu, tetapi akhirnya, setelah hampir tidak melakukannya, mereka mengorbankan seekor lembu yang tidak tua dan tidak juga dara, yang keemasan, terang warnanya, dan yang belum pernah dipakai untuk membajak bumi, atau untuk mengairi tanaman tetapi teguh, dengan tanpa sebarang tanda yang cacat padanya (2:67-71).

Seperti yang telah disebut lebih awal, orang-orang Yahudi, kerana keangkuhan mereka, telah diharamkan Allah daripada memakan lemak lembu, selain beberapa yang lain (6:146). Termasuk lemak kambing. Kulit kambing, yang ringan dibawa, berguna untuk membuat rumah pada hari perjalanan dan menetap. Sementara bulu-bulu dan rambut mereka berguna untuk membuat perkakas rumah tangga dan kesenangan lain untuk satu waktu (16:80).

Bulunya yang berjambak, yang ditarik, menjadi umpamaan bagi apa yang terjadi pada gunung-gunung pada Hari Akhir. Firman Tuhan,

"Dan gunung-gunung seperti bulu (kambing) berjambak yang ditarik." (101:5)

Dan, kambing didapati suka merosakkan tanaman (21:78).

Biri-biri adalah seperti kambing pada kulit dan bulu dalam kegunaannya (16:80).

Nabi Daud telah diminta untuk mengadili dua orang yang bersaudara yang berselisih mengenai biri-biri betina. Seorang mempunyai sembilan puluh sembilan ekor dan yang seorang lagi hanya seekor. Saudara yang mempunyai yang banyak minta diserahkan yang seekor itu kepadanya, dan dia telah mengalahkan saudaranya dalam ucapan. Nabi Daud tidak bersetuju dengan kehendak saudara yang tamak itu (38:23-24).

Melencong sedikit daripada tajuk untuk menyebut kisah Nabi Nuh yang diperintah Allah supaya membawa bersamanya di dalam kapal "dua daripada tiap-tiap jenis" selain keluarganya, dan orang-orang yang percaya (11:40 dan 23:27).

Perkataan "jenis" di situ diterjemah daripada zawj, yang juga bermaksud "pasangan", diguna di dalam al-Qur'an dengan banyak terutama untuk dipadankan dengan lelaki dan perempuan, atau pasangan suami isteri. Ia juga dipadankan dengan biri-biri, kambing, unta dan lembu (6:143-144), haiwan ternak (42:11), buah-buahan (13:3), dan tumbuhan (20:53, 22.5, 26:7 dan 31:10).

Maka dengan itu dapat difahamkan segala yang diangkut di dalam kapal Nabi Nuh, iaitu keperluan untuk kehidupan baru di tempat baru setelah tempat tinggal Nabi Nuh dan orang-orang bersamanya dimusnah oleh banjir besar yang gelombangnya setinggi gunung (11:42). Tentu mereka tidak bercadang membuka sebuah zoo, atau sarkas, dengan membawa bersama segala haiwan, termasuk yang buas, seperti dicerita oleh sesetengah pihak, di tempat baru, dalam keadaan susah!

Kembali kepada contoh-contoh haiwan yang didapati di dalam al-Qur'an. Seterusnya ialah babi. Daging babi haram dimakan, kecuali terpaksa dan dengan tidak menginginkan, dan tidak pula menderhakai Allah (2:173, 16:115).

Sifat babi tidak disenangi, kerana menurut ayat 5:60, orang-orang yang Allah melaknatkan, dan padanya Dia murka, Dia menjadikan mereka beruk dan babi. Orang-orang yang dilaknati dan dimurkai tentulah mereka yang tidak percaya kepada ayat-ayat-Nya.

Seekor lagi haiwan yang tidak disenangi oleh sesetengah pihak, tetapi tidak diharamkan Allah, ialah anjing. Ia telah menjadi teman kepada beberapa orang pemuda beriman yang mengambil perlindungan di sebuah gua daripada ancaman orang-orang yang tidak percaya. Allah telah mematikan mereka, bersama anjing mereka, dan kemudian menghidupkan mereka semula. Cerita mereka dapat dibaca di surah 18, ayat 9 hingga 26.

Antara golongan anjing, ada yang dilatih untuk memburu. Apa yang ditangkaphnya, dengan mulut dan gigi, dihalakan untuk dimakan dengan menyebut nama Allah ke atasnya (5:4).

Beruk telah diceritakan bersama babi tadi, iaitu orang-orang yang dilaknati dan dimurkai Allah dijadikan haiwan yang dua itu (5:60).

Turut dijadikan beruk ialah orang-orang yang mencabuli Sabat, dan orang-orang yang memandang rendah pada apa yang mereka telah dilarang. Kata-Nya, "Jadilah kamu beruk, menyelinap dengan melarat." (2:65, 7:166).

Ular disebut sebanyak lima kali di dalam al-Qur'an (7:107, 20:20, 26:32, 27:10 dan 28:31). Kesemuanya mengenai tongkat Nabi Musa yang menjadi ular apabila dia melemparnya. Satu contoh ayat berbunyi,

"Maka dia melemparkan tongkatnya, dan tiba-tiba ia adalah ular yang nyata." (7:107)

Lebah yang mengeluarkan madu dinyatakan di dalam ayat-ayat berikut:

"Dan Pemelihara kamu mewahyukan lebah, 'Ambillah untuk kamu daripada gunung-gunung, rumah-rumah, dan daripada pokok-pokok, dan daripada apa yang mereka membangunkan. Kemudian makanlah tiap-tiap buahan, dan ikutlah jalan-jalan Pemelihara kamu yang senang kepergiannya.' Kemudian keluar dari perut mereka, satu minuman yang bermacam-macam warna, di dalamnya penyembuhan untuk manusia." (16:68-69)

Rama-rama muncul sekali sahaja di dalam al-Qur'an untuk memberi gambaran mengenai keadaan manusia apabila datang Hari Akhir:

"Pada hari manusia seperti rama-rama bertebaran," (101:4).

Juga belalang, sekali, untuk menggambarkan keadaan sesetengah manusia pada hari mereka dibangkitkan semula:

"Menjatuhkan pandangan mereka, mereka keluar dari makam-makam mereka, seakan-akan mereka belalang-belalang yang bertaburan," (54:7).

Belalang juta, kutu dan katak adalah antara azab yang diutus kepada Firaun dan kaumnya supaya mereka merendah diri terhadap ayat-ayat Allah. Dia menjelaskan,

"Maka Kami mengutus kepada mereka banjir, dan belalang juta, dan kutu, dan katak, dan darah - ayat-ayat yang jelas; tetapi mereka menyombongkan diri, dan mereka adalah kaum yang berdosa." (7:133)

Haiwan serangga yang kecil, semut, termasuk dalam kisah Nabi Sulaiman. Ia didapati berkata-kata dan bahasanya telah diterjemah kepada bahasa Arab al-Qur'an, dan di sini, ke dalam bahasa Melayu pula. Begini bunyinya,

"Sehingga, apabila mereka datang ke lembah semut, berkatalah seekor semut, 'Wahai semut-semut, masuklah ke dalam tempat-tempat tinggal kamu supaya Sulaiman dan tenteranya tidak menginjak kamu, dengan tidak menyedari.'" (27:18)

Beralih ke laut, untuk menyebut ikan, yang besar, yang telah menelan Nabi Yunus kerana dia didapati bersalah (37:142). Tetapi dia diselamatkan Allah, dan digelar Teman Ikan (68:48).

Seekor ikan yang dilupakan oleh Nabi Musa dan budak suruhannya telah menjadi isyarat untuk menunjukkan tempat pertemuan dengan seorang hamba Allah yang telah diajar suatu pengetahuan daripada-Nya (18:63).

Ikan juga dijadikan ujian, iaitu untuk orang-orang Sabat kerana kefasiqan mereka (7:163).

Persamaan

Kembali kepada haiwan di darat yang belum disenaraikan di sini. Singa, yang digelar oleh manusia Raja di Rimba, terbit bersama keledai dalam ayat-ayat yang membuat persamaan bagi orang-orang yang berpaling daripada Peringatan, atau ayat-ayat Allah. Firman-Nya,

"Mengapakah dengan mereka, bahawa mereka berpaling daripada Peringatan, seakan-akan mereka keledai yang terkejut, yang lari di hadapan singa?" (74:49-51)

Labah-labah, iaitu yang betina, dengan rumah-rumah mereka, menjadi persamaan kepada orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah, mengikut ayat berbunyi,

"Persamaan orang-orang yang mengambil untuk mereka wali-wali (pelindung-pelindung), selain daripada Allah, ialah seperti persamaan labah-labah betina yang mengambil untuknya sebuah rumah; dan sesungguhnya yang paling lemah antara rumah-rumah ialah rumah labah-labah betina, jika mereka mengetahui." (29:41)

Lalat, yang bersaiz kecil, dijadikan contoh dalam persamaan ke atas orang-orang yang menyeru selain daripada Allah. Firman-Nya,

"Wahai manusia, satu persamaan dijadikan; maka dengarlah padanya. Sesungguhnya orang-orang yang kamu seru, selain daripada Allah, tidak akan dapat mencipta seekor lalat, walaupun mereka berkumpul untuknya; dan jika seekor lalat merampas sesuatu daripada mereka, mereka tidak akan dapat menyelamatkannya daripada ia. Lemahlah sungguh yang mencari, dan yang dicari!" (22:73)

Agas, yang paling kecil dan terakhir dalam senarai haiwan di sini adalah sebenarnya contoh haiwan yang pertama disebut di dalam al-Qur'an. Ayat yang mengandungi satu-satunya perkataan agas menegaskan bahawa Allah tidak malu membuat persamaan bagi manusia walaupun dengan seekor agas, atau apa yang lebih rendah. Orang-orang yang percaya percaya bahawa persamaan yang dibuat oleh Allah adalah benar atau tepat, tetapi orang-orang yang tidak percaya mengherdiknya. Ramai daripada manusia disesatkan dengan persamaan-persamaan yang dibuat-Nya (2:26).

Senarai persamaan manusia dengan haiwan ditambah lagi. Allah telah menyamakan seburuk-buruk haiwan pada pandangan-Nya dengan orang-orang yang pekak, bisu, tidak memahami atau tidak mahu memahami ayat-ayat-Nya. Firman berbunyi,

"Sesungguhnya seburuk-buruk haiwan pada pandangan Allah ialah orang-orang yang pekak, dan bisu, dan tidak memahami." (8:22)

Seburuk itu disetarakan pula dengan orang-orang yang tidak percaya, yang tidak akan mempercayai. Firman-Nya,

"Sesungguhnya seburuk-buruk haiwan pada pandangan Allah ialah orang-orang yang tidak percaya, yang tidak akan mempercayai," (8:55).

Namun, kepada orang-orang yang tidak percaya, persamaan ditambah atas kegembiraan dan tabiat makan, yang diserupakan dengan binatang ternak. Firman-Nya,

"Bagi orang-orang yang tidak percaya, mereka bergembira dan makan sebagaimana binatang ternak makan;" (47:12).

Binatang ternak juga dijadikan persamaan untuk orang-orang yang tidak guna otak, mata, dan telinga terhadap ayat-ayat Allah. Firman Tuhan,

"Kami menciptakan untuk Jahanam banyak jin dan manusia; mereka mempunyai hati (otak), tetapi tidak memahami dengannya; mereka mempunyai mata, tetapi tidak melihat dengannya; mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mendengar dengannya. Mereka adalah seperti binatang ternak; tidak, tetapi mereka lebih jauh sesat. Mereka itu, merekalah orang-orang yang lalai." (7:179)

Sekali lagi binatang ternak dijadikan persamaan, tetapi kali ini untuk orang-orang yang tidak mendengar atau tidak mahu faham ayat-ayat Allah. Ayat yang menjelaskannya berbunyi,

"Atau, kamu menyangka bahawa kebanyakan daripada mereka mendengar atau memahami? Mereka, tidak lain, adalah seperti binatang ternak; tidak, mereka lebih jauh sesat daripada jalan." (25:44)

Keledai disamakan dengan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah, yang mengambil timbunan kitab yang tebal (keledai mampu memikul beban yang sangat berat) tetapi tidak memikul sebuah Kitab yang diturunkan-Nya. Dia mengingatkan,

"Persamaan orang-orang yang dibebankan dengan Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya adalah seperti persamaan seekor keledai yang memikul buku-buku yang tebal. Adalah buruk persamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah. Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim." (62:5)

Akhir sekali, bagi orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan mengikuti keinginan mereka, mereka dibandingkan dengan anjing yang menjulurkan lidah. Begini bunyi perbandingan daripada-Nya,

"Dan sekiranya Kami menghendaki, tentu Kami menaikkan dia dengannya, tetapi dia cenderung kepada bumi, dan mengikuti keinginannya. Maka persamaannya seperti persamaan seekor anjing: jika kamu menghalaunya, ia menjulurkan lidahnya, atau jika kamu membiarkannya, ia menjulurkan lidahnya juga. Itulah persamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah ceritanya supaya mereka memikirkan." (7:176)

Terdapat dua puluh lima contoh haiwan yang disebut di dalam al-Qur'an. Enam daripadanya - singa dan keledai, labah-labah betina, lalat, agas dan anjing - dijadikan persamaan untuk sesetengah golongan manusia, selain seburuk-buruk haiwan atau binatang ternak yang berjumlah lima. Sesungguhnya terdapat pelbagai pelajaran bagi manusia daripada haiwan yang dicipta Allah."
Kiriman pada Friday, May 29 @ 20:02:54 MYT oleh androidx
 
Pautan
· Lagi mengenai PHP-Nuke
· Artikel Oleh: androidx


Artikel yang sering dibaca berkenaan PHP-Nuke:
Kaedah pengiraan Jumlah Ayat Al-Quran 6666 ayat.

Penilaian
Markah Purata: 4.47
Senarai Survey: 17


Sila luangkan sedikit masa untuk mengundi artikel ini:

Cemerlang
Sangat Bagus
Baik
Sederhana
Teruk


Pilihan

 Paparan Untuk Percetakan  Paparan Untuk Percetakan

 Kirim Artikel ini kepada Rakan  Kirim Artikel ini kepada Rakan

Sekolah Kebangsaan Sungai Rokam, Ipoh
Jalan Kenanga, 31350 Ipoh.
M A L A Y S I A
No. Telefon : 05-312 1890
No. Fax : 05-311 5806
Email sekolah : aba2003@moe.edu.my
Hakcipta Terpelihara 2006.

Sekolah Kebangsaan Sungai Rokam tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakkan atau kehilangan yang dialami disebabkan oleh penggunaan maklumat dalam laman web ini.
Penjanaan Halaman: 0.026 Saat
::::